PENDIDIKAN KESIHATAN TINGKATAN 2
Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR)
UNIT 6: Penyakit
PENGENALAN
Penyakit merupakan keadaan tidak normal yang menyebabkan penghidapnya tidak dapat memberi tumpuan dalam menjalani kehidupan seharian. Penyakit boleh diklasifikasikan kepada penyakit berjangkit dan penyakit tidak berjangkit. Unit ini memberi penekanan kepada penyakit tidak berjangkit seperti hipertensi, diabetes, penyakit kardiovaskular dan respiratori kronik.
Penyakit berjangkit
Boleh merebak daripada seorang individu kepada individu yang lain.
Penyakit tidak berjangkit
Tidak merebak. Merupakan penyakit kronik yang tidak boleh disebarkan kepada orang lain.
1. Diabetes
Berlaku apabila paras gula tinggi di dalam darah. Pengeluaran hormon insulin oleh pankreas tidak mencukupi untuk menampung kandungan gula dalam darah.
Gejala
Kerap berasa dahaga, cepat letih, berat badan susut, kerap membuang air, mudah terkena jangkitan kulit, luka lambat sembuh, penglihatan kabur, otot lemah, dan gatal-gatal di bahagian kemaluan.
2. Penyakit kardiovaskular
Berlaku apabila otot jantung tidak mendapat bekalan darah yang tidak mencukupi disebabkan oleh saluran darah yang sempit atau tersumbat.
Gejala
Kerap sakit pada bahagian dada, kerap berdebar-debar, mudah berasa cemas, hilang selera makan, mudah berpeluh dengan banyak, kerap lelah dan sesak nafas.
3. Hipertensi
Berlaku apabila tekanan darah melebihi bacaan 140/90 mmHg
Gejala
Sakit kepala dan berdenyut-denyut di bahagian belakang kepala, kerap berasa kebas di leher, mudah marah, sukar tidur, cepat lelah dan sesak nafas serta sering gelisah.
4. Penyakit respiratori kronik
Berlaku apabila terdapat penyempitan dan keradangan pada saluran pernafasan.
Gejala
Batuk berkahak yang berpanjangan, nafas berbunyi, sesak nafas terutama pada waktu pagi, sesak nafas ketika melakukan aktiviti, simptom kegagalan paru-paru berfungsi, jantung bengkak dan kaki bengkak.
CARA MENCEGAH PENYAKIT TIDAK BERJANGKIT
1. Bersenam sekurang-kurangnya tiga kali seminggu melebihi 30 minit setiap sesi.
2. Tidak merokok dan mengambil alkohol.
3. Elakkan stres.
4. Periksa paras gula dan kolesterol dalam darah.
5. Kekalkan berat badan unggul.
6. Mengamalkan pemakanan seimbang.
7. Lakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala.
AMALAN GAYA HIDUP SIHAT
Lakukan pemeriksaan kesihatan sekiranya anda:
1. Mempunyai sejarah keluarga yang menghidap diabetes.
2. Tidak aktif atau tidak melakukan aktiviti fizikal.
3. Mempunyai tahap kolesterol yang tinggi.
4. Luka yang sukar sembuh, kerap dahaga, sering membuang air kecil pada waktu malam, gatal atau mendapat jangkitan kuman pada kemaluan.
5. Mempunyai tekanan darah yang tinggi, iaitu 140/90 mmHg atau lebih.
6. Berlebihan berat badan atau obes.
LATIHAN PENGUKUHAN
1. Terangkan penyakit yang boleh berjangkit
2. Berikan 7 cara mencegah penyakit tidak berjangkit.
3. Nyatakan perbezaan antara penyakit berjangkit dengan penyakit tidak berjangkit.
4. Bina peta pemikiran tentang amalan gaya hidup sihat.