Monday, September 20, 2021

Khemah

PENDIDIKAN JASMANI TINGKATAN 2 

Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR)

UNIT 7: Rekreasi dan Kesenggangan


PENGENALAN

Definisi rekreasi dan kesenggangan

Rekreasi dan kesenggangan merupakan aktiviti terancang yang bertujuan memberi kepuasan, keseronokan serta ketenangan jiwa dan minda kepada individu yang terlibat.


Aktiviti rekreasi yang boleh dilakukan adalah:

a) Perkhemahan

b) Berkayak

c) Mendaki Gunung

d) Berakit

e) Permainan Tradisional


Penglibatan murid dalam aktiviti rekreasi dan kesenggangan ini dapat

a) memelihara serta memupuk persefahaman

b) semangat kerjasama

c) mewujudkan suasana kemesraan 

d) mengeratkan perhubungan


Topik ini memfokuskan kepada perkhemahan di mana murid dapat mengaplikasikan jenis simpulan dan ikatan semasa membina khemah.


KHEMAH

Apa itu khemah?

Tempat perlindungan sementara yang selamat, selesa dan mempunyai kemudahan asas yang minima. Tidak kira apa bentuk dan jenis tempat berlindungan itu.


Jenis-jenis khemah

a) Khemah nylon berbentuk A atau pocho

Khemah ini biasanya digunakan oleh tentera. Khemah ini sesuai digunakan di kawasan tanah rendah atau pantai. Kelebihan khemah jenis ini ialah memberikan kitaran udara yang baik di tempat - tempat yang agak panas. 

                                                                      Khemah nylon berbentuk A (Pocho)


b) Khemah nylon berbentuk Dome

Khemah ini sesuai digunakan dipergunungan. Kelebihan khemah ini ialah boleh memerangkap udara panas di dalam khemah dan menghalang angin sejuk dari masuk ke dalam.


                                                                 Khemah nylon berbentuk dome

        

Perkara penting sebelum mendirikan khemah

a) Tapak perkhemahan yang sesuai (tanah lapang dan rata)

b) Berhampiran dengan sumber air

c) Mendapat pancaran cahaya matahari untuk mengeringkan khemah jika basah.

d) Terlindung daripada tiupan angin secara terus.


SIMPULAN DAN IKATAN UNTUK BERKHEMAH

1. Ikatan simpul manuk

Ikatan simpul manuk ini biasanya digunakan sebagai permulaan ikatan ketika mula mengikat pada kayu atau tiang. Ikatan ini tidak mudah terurai dan kayu dapat ditarik ke tempat yang dikehendaki dengan selamat. Ikatan ini juga digunakan semasa memulakan dan mematikan ikatan seraya dan silang gunting. Pada bahagian khemah, simpul manuk digunakan untuk mengikat tali pada tiang khemah. 

Teknik ikatan simpul manuk


i) Mulakan simpulan pada kayu

ii) Kemudian, buat satu lagi simpulan di atas simpulan tadi.

iii) Tarik hujung tali.

Video pembelajaran untuk ikatan simpul manuk (clove hitch)https://youtu.be/LTVn9f-Rk00


2. Ikatan pengail (Fisherman's Knot)

Ikatan ini digunakan untuk mengikat tali pada pancang khemah. Ikatan ini kuat dan kukuh. Selain sesuai digunakan untuk membina khemah, ikatan ini juga digunakan untuk mendaki bukit (abseiling dan rappelling). 

Teknik ikatan pengail

i. Buat dua gelung tali, kemudian masukkan hujung tali.

ii. Lakukan dua lingkaran tali.

iii. Ikat pada hujung tali itu.

Video pembelajaran untuk ikatan pengail (Fisherman's Knot): https://youtu.be/okiSqnDlC5I


3. Ikatan silang gunting

Ikatan ini digunakan untuk mengikat tali jambatan, menara, gajer dan menyambung kayu. Sesuai untuk membuat tripod. Ikatan ini kuat dan kukuh untuk mengikat dua atau tiga batang kayu supaya bercantum.

Teknik ikatan silang gunting

i. Mulakan ikatan simpul manuk pada mana-mana kayu.

ii. Belitkan kedua-dua kayu sehingga ketat.

iii. Belitkan tali di celah kedua-dua kayu beberapa kali.

iv. Matikan ikatan dengan simpul manuk.

Video pembelajaran untuk ikatan silang gunting (Sheer Lashing): https://youtu.be/tFjbKWZaIiE


4. Ikatan serong

Ikatan serong ini digunakan untuk mengikat tali pada kayu, pancang dan gelung besi. Ikatan ini kuat dan kukuh. Ikatan ini sesuai digunakan untuk membuat gajet meja, kerusi dan tempat memasak. 

i. Mulakan dengan ikatan simpul manuk.

ii. Mulakan melilit secara menyerong.

iii. Lilit beberapa kali.

iv. Lilit sehingga kemas.

v. Kemudian, lilit secara menyerong.

vi. Matikan dengan ikatan simpul manuk.

Video pembelajaran untuk ikatan silang serong (Diagonal Lashing)https://youtu.be/vaPacWXwg3A


5. Ikatan seraya

Ikatan ini digunakan untuk membuat jambatan, menara dan rakit. Ikatan ini dimulakan dengan simpulan manuk kemudian dililitkan dengan kemas dan matikan dengan ikatan simpul manuk.

Teknik ikatan seraya

i. Mulakan dengan ikatan simpul manuk.

ii. Lilit tali beberapa kali dari atas ke bawah.

iii. Lilit tali beberapa kali di celah kayu.

iv. Lilit sehingga kemas dan ketat.

v. Matikan dengan ikatan simpul manuk.

Video pembelajaran untuk ikatan seraya (Square Lashing): https://youtu.be/SvMIq2Zha9U


AKTIVITI 1

1. Pelajar dikehendaki memilih jenis ikatan dan merakam video bagi ikatan yang dipilih.

 

LATIHAN PENGUKUHAN 1

1. Berikut merupakan ciri-ciri tapak dan kawasan perkhemahan KECUALI ..

A. Kawasan lapang 

B. Mendapatkan kebenaran dan maklumat

C. Tidak jauh daripada penduduk atau penempatan

D. Tidak mempunyai kemudahan asas


2. Pada pendapat anda, mengapakah kita perlu memastikan kawasan untuk mendirikan khemah tidak berada di kawasan berumput tebal dan panjang?

A. Untuk mengelakkan dari terpijak benda tajam seperti kaca.

B. Untuk mengelakkan daripada bahaya serangga dan binatang berbisa seperti lipan dan ular.

C. Supaya tapak khemah dapat dibina di kawasan yang rata.

D. Supaya laluan peserta perkhemahan tidak terhalang.


3. Nyatakan lokasi yang sesuai untuk menjalankan aktiviti perkhemahan.

A. Gedung membeli-belah 

B. Padang sekolah

C. Rumah usang

D. Kolan renang


4. Barangan keperluan berikut tidak sesuai dibawa ketika perkhemahab kecuali:

A. Laptop

B. Lampu suluh

C. Set Geometri

D. Bantal busuk


5. Peralatan dibawah tidak perlu dibawa semasa perkhemahan melainkan.....

A. Kotak pertolongan cemas

B. Barangan kaca

C. Barang kemas

D. Wang yang banyak


6. Berikut merupakan kaedah terbaik dalam pemilihan tapak perkhemahan kecuali:

A. Dekat punca air

B. Permukaan rata

C. Mudah dihubungi

D. Puncak bukit



















Prinsip dan Prosedur T.O.T.A.P.S

PENDIDIKAN KESIHATAN TINGKATAN 2 

Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR)


UNIT 3: Pertolongan Cemas

PENGENALAN

Pertolongan cemas atau bantuan permulaan merupakan prinsip atau prosedur yang digunakan untuk individu yang masih dalam keadaan sedar atau tidak sedar. Topik ini memfokuskan kepada prinsip dan prosedur T.O.T.A.P.S. serta tindakan yang bersesuaian mengikut kecemasan. Terdapat beberapa jenis pengurusan kecederaan seperti R.I.C.E. dan D.R.A.B.C. 

Prosedur T.O.T.A.P.S.






Definisi 

Prinsip pertolongan cemas T.O.T.A.P.S. ini adalah satu kaedah membuat penilaian terhadap kecederaan mangsa setelah diberi rawatan D.R.A.B.C.

Prosedur

T = Talk (bercakap)
Talk (bercakap) merupakan langkah pertama dalam prosedur T.O.T.A.P.S. ini. Langkah ini memerlukan kita bercakap dengan mangsa yang mengalami kecederaan. Contohnya, menanyakan mangsa mengenai kecederaan yang dialaminya seperti boleh dengan atau tidak, di mana bahagian yang sakit atau tempat yang tercedera dan juga menanyakan bagaimana penglihatan samada kabur atau jelas. Ini adalah bertujuan untuk mengetahui serba sedikit mengenai keadaan mangsa.

O = Observe (pemerhatian)
Observe (pemerhatian) merupakan langkah kedua dalam prosedur T.O.T.A.P.S. ini di mana kita perlu melihat, memerhati dan memeriksa tempat kecederaan mangsa seperti di bahagian kepala dan kulit (lebam, bengkak atau pendarahan), perubahan suhu badan serta pernafasan dan denyutan nadi (normal atau tidak) bagi memastikan tahap kecederaan yang dialami oleh mangsa.  Jika kecederaan yang berlaku agak serius, prosedur seterusnya tidak perlu dilakukan. Mangsa perlu dirujuk ke hospital atau pakar perubatan. 

T = Touch (sentuh)
Touch (sentuh) adalah langkah yang ketiga dalam prosedur T.O.T.A.P.S. di mana kita perlu menyentuh bahagian yang disyaki mengalami kecederaan dengan perlahan dan berhati-hati bagi memeriksa sebarang bengkak atau defomiti yang dialami anggota badan yang terlibat. Sebelum membuat langkah ini, kita hendaklah memaklumkan kepada mangsa terlebih dahulu untuk mengelakkan daripada mangsa terkejut dengan sentuhan yang akan dilakukan.

A = Active Movement (pergerakan aktif)
Active Movement (pergerakan aktif) merupakan langkah keempat dalam prosedur T.O.T.A.P.S. dengan mengarahkan dan meminta mangsa melakukan pergerakan aktif seperti menggerakkan anggota badan yang cedera seperti tangan, kaki dan kepala bagi mengesan tempat dan tahap kecederaan. Mangsa perlu melakukan pergerakan sendiri secara aktif tanpa bantuan individu lain. Jika pergerakan terhad dan sakit, mangsa perlu merujuk kepada pakar perubatan untuk diberikan rawatan dengan segera.

P = Passive Movement (pergerakan pasif)
Passive Movement (pergerakan pasif) adalah langkah yang kelima dalam prosedur T.O.T.A.P.S. di mana kita perlu membantu menggerakkan anggota mangsa yang mengalami kecederaan seandainya mangsa tersebut tidak dapat menggerakkan anggota badannya sendiri. Kita hendaklah membantu menggerakkan bahagian anggota yang cedera dengan perlahan untuk memeriksa atau menentukan tahap kecederaan mangsa. Jika mangsa menunjukkan rasa sakit, mangsa perlu dirujuk kepada pakar perubatan.

S = Skill Test (ujian kemahiran)
Skill test (ujian kemahiran) merupaka langkah yang keenam atau terakhir dalam prosedur T.O.T.A.P.S.. Kita perlu mengarahkan atau meminta mangsa berdiri dan melakukan ujian kemahiran seperti melompat atau berlari sambil membuat latihan kemahiran yang mudah bagi memastikan tahap kecederaan mangsa. Sekiranya mangsa berasa sakit, bawa ke hospital atau klinik untuk mendapatkan rawatan. Jika mangsa tidak mengadu kesakitan, maka boleh meneruskan semula aktivitinya.


LATIHAN PENGUKUHAN

Jawab soalan-soalan berikut. Sertakan contoh-contoh yang sesuai bagi menjelaskan jawapan anda. 

1. Senaraikan prosedur T.O.T.A.P.S. 
2. Bezakan antara prosedur T.O.T.A.P.S. dengan D.R.A.B.C.
3. Apakah yang perlu dilakukan sewaktu prosedur Observe







JAWAPAN LATIHAN PJPK TINGKATAN 2