PENDIDIKAN JASMANI TINGKATAN 2
Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR)
UNIT 7: Rekreasi dan Kesenggangan
PENGENALAN
Definisi rekreasi dan kesenggangan
Rekreasi dan kesenggangan merupakan aktiviti terancang yang bertujuan memberi kepuasan, keseronokan serta ketenangan jiwa dan minda kepada individu yang terlibat.
Aktiviti rekreasi yang boleh dilakukan adalah:
a) Perkhemahan
b) Berkayak
c) Mendaki Gunung
d) Berakit
e) Permainan Tradisional
Penglibatan murid dalam aktiviti rekreasi dan kesenggangan ini dapat
a) memelihara serta memupuk persefahaman
b) semangat kerjasama
c) mewujudkan suasana kemesraan
d) mengeratkan perhubungan
Topik ini memfokuskan kepada perkhemahan di mana murid dapat mengaplikasikan jenis simpulan dan ikatan semasa membina khemah.
KHEMAH
Apa itu khemah?
Tempat perlindungan sementara yang selamat, selesa dan mempunyai kemudahan asas yang minima. Tidak kira apa bentuk dan jenis tempat berlindungan itu.
Jenis-jenis khemah
a) Khemah nylon berbentuk A atau pocho
Khemah ini biasanya digunakan oleh tentera. Khemah ini sesuai digunakan di kawasan tanah rendah atau pantai. Kelebihan khemah jenis ini ialah memberikan kitaran udara yang baik di tempat - tempat yang agak panas.
Khemah nylon berbentuk A (Pocho)b) Khemah nylon berbentuk Dome
Khemah ini sesuai digunakan dipergunungan. Kelebihan khemah ini ialah boleh memerangkap udara panas di dalam khemah dan menghalang angin sejuk dari masuk ke dalam.
Perkara penting sebelum mendirikan khemah
a) Tapak perkhemahan yang sesuai (tanah lapang dan rata)
b) Berhampiran dengan sumber air
c) Mendapat pancaran cahaya matahari untuk mengeringkan khemah jika basah.
d) Terlindung daripada tiupan angin secara terus.
SIMPULAN DAN IKATAN UNTUK BERKHEMAH
1. Ikatan simpul manuk
Ikatan simpul manuk ini biasanya digunakan sebagai permulaan ikatan ketika mula mengikat pada kayu atau tiang. Ikatan ini tidak mudah terurai dan kayu dapat ditarik ke tempat yang dikehendaki dengan selamat. Ikatan ini juga digunakan semasa memulakan dan mematikan ikatan seraya dan silang gunting. Pada bahagian khemah, simpul manuk digunakan untuk mengikat tali pada tiang khemah.
Teknik ikatan simpul manuk
i) Mulakan simpulan pada kayu
ii) Kemudian, buat satu lagi simpulan di atas simpulan tadi.
iii) Tarik hujung tali.
Video pembelajaran untuk ikatan simpul manuk (clove hitch): https://youtu.be/LTVn9f-Rk00
2. Ikatan pengail (Fisherman's Knot)
Ikatan ini digunakan untuk mengikat tali pada pancang khemah. Ikatan ini kuat dan kukuh. Selain sesuai digunakan untuk membina khemah, ikatan ini juga digunakan untuk mendaki bukit (abseiling dan rappelling).
Teknik ikatan pengail
i. Buat dua gelung tali, kemudian masukkan hujung tali.
ii. Lakukan dua lingkaran tali.
iii. Ikat pada hujung tali itu.
Video pembelajaran untuk ikatan pengail (Fisherman's Knot): https://youtu.be/okiSqnDlC5I
3. Ikatan silang gunting
Ikatan ini digunakan untuk mengikat tali jambatan, menara, gajer dan menyambung kayu. Sesuai untuk membuat tripod. Ikatan ini kuat dan kukuh untuk mengikat dua atau tiga batang kayu supaya bercantum.
Teknik ikatan silang gunting
i. Mulakan ikatan simpul manuk pada mana-mana kayu.
ii. Belitkan kedua-dua kayu sehingga ketat.
iii. Belitkan tali di celah kedua-dua kayu beberapa kali.
iv. Matikan ikatan dengan simpul manuk.
Video pembelajaran untuk ikatan silang gunting (Sheer Lashing): https://youtu.be/tFjbKWZaIiE
4. Ikatan serong
Ikatan serong ini digunakan untuk mengikat tali pada kayu, pancang dan gelung besi. Ikatan ini kuat dan kukuh. Ikatan ini sesuai digunakan untuk membuat gajet meja, kerusi dan tempat memasak.
i. Mulakan dengan ikatan simpul manuk.
ii. Mulakan melilit secara menyerong.
iii. Lilit beberapa kali.
iv. Lilit sehingga kemas.
v. Kemudian, lilit secara menyerong.
vi. Matikan dengan ikatan simpul manuk.
Video pembelajaran untuk ikatan silang serong (Diagonal Lashing): https://youtu.be/vaPacWXwg3A
5. Ikatan seraya
Ikatan ini digunakan untuk membuat jambatan, menara dan rakit. Ikatan ini dimulakan dengan simpulan manuk kemudian dililitkan dengan kemas dan matikan dengan ikatan simpul manuk.
Teknik ikatan seraya
i. Mulakan dengan ikatan simpul manuk.
ii. Lilit tali beberapa kali dari atas ke bawah.
iii. Lilit tali beberapa kali di celah kayu.
iv. Lilit sehingga kemas dan ketat.
v. Matikan dengan ikatan simpul manuk.
Video pembelajaran untuk ikatan seraya (Square Lashing): https://youtu.be/SvMIq2Zha9U
AKTIVITI 1
1. Pelajar dikehendaki memilih jenis ikatan dan merakam video bagi ikatan yang dipilih.
LATIHAN PENGUKUHAN 1
1. Berikut merupakan ciri-ciri tapak dan kawasan perkhemahan KECUALI ..
A. Kawasan lapang
B. Mendapatkan kebenaran dan maklumat
C. Tidak jauh daripada penduduk atau penempatan
D. Tidak mempunyai kemudahan asas
2. Pada pendapat anda, mengapakah kita perlu memastikan kawasan untuk mendirikan khemah tidak berada di kawasan berumput tebal dan panjang?
A. Untuk mengelakkan dari terpijak benda tajam seperti kaca.
B. Untuk mengelakkan daripada bahaya serangga dan binatang berbisa seperti lipan dan ular.
C. Supaya tapak khemah dapat dibina di kawasan yang rata.
D. Supaya laluan peserta perkhemahan tidak terhalang.
3. Nyatakan lokasi yang sesuai untuk menjalankan aktiviti perkhemahan.
A. Gedung membeli-belah
B. Padang sekolah
C. Rumah usang
D. Kolan renang
4. Barangan keperluan berikut tidak sesuai dibawa ketika perkhemahab kecuali:
A. Laptop
B. Lampu suluh
C. Set Geometri
D. Bantal busuk
5. Peralatan dibawah tidak perlu dibawa semasa perkhemahan melainkan.....
A. Kotak pertolongan cemas
B. Barangan kaca
C. Barang kemas
D. Wang yang banyak
6. Berikut merupakan kaedah terbaik dalam pemilihan tapak perkhemahan kecuali:
A. Dekat punca air
B. Permukaan rata
C. Mudah dihubungi
D. Puncak bukit
No comments:
Post a Comment